Wednesday, June 27, 2007


Ayah dan ibu
itulah permulaan kami
dapatlah melihat bulan dan Matahari Ahai...
yang dikurniakan dari Ilahi Ahai...

Ayah dan ibu lah
mesti dihormati
ayah dan ibu
wali dan juga keramat
pada mereka kita beri hormat Ahai...

Bagilah tunjuk ajar dan Nasihat
supaya hidup
supaya hidup kita akan selamat
Aku hanya anak Kedai Mulong

bukan asal Pulai Chondong

bukan jugak orang Tendong

aku memang budak Kedai Mulong


Anak perantau bangkit asal dari kampung

budak kampung tapi tak reti main ayam sabung

kakiku hanya ada dua putung

tapi dunia aku dah jalan hampir ke hujung

Wednesday, June 20, 2007

TUAN TABAL - Penyebar Tariqah Ahmadiyah Pertama di Nusantara

Hubungan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani dengan Tuan Tabal yang diriwayatkan sebagai saudara ipar dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 13 September 2004/28 Rejab 1425H, masih dirasakan perlu diberi keterangan lanjut. Oleh itu pada terbitan kali ini dipilih judul mengenai ulama yang berasal dari Tabal itu. Nama sebenarnya ialah Haji Abdus Shamad bin Muhammad Saleh Tabal al-Fathani al-Kalantani. Sebelum bergelar Tuan Tabal beliau juga pernah digelar Tuan Kutan. Oleh sebab semua tulisan yang meriwayatkan Tuan Tabal sebelum ini tidak pernah menyebut bahawa beliau adalah beripar dengan Syeikh Wan Ali Kalantani, maka sebelum meneruskan riwayat ini dirasakan perlu menulis perbandingan di bawah ini. Para penulis Kelantan selama ini menyebut bahawa isteri Tuan Tabal itu bernama Wan Tsum atau Wan Kaltsum anak Tok Semian.
Maklumat daripada keluarga ini di Terengganu menyebut bahawa Tok Semian adalah nama gelar kepada Haji Abdur Rahman. Apabila kita teliti maklumat ini, maka salasilah yang diperoleh dari Terengganu ada benarnya, kerana ayah Syeikh Wan Ali Kutan dan Wan Kaltsum, adiknya memang bernama Abdur Rahman. Cuma ayah Abdur Rahman di sini bernama Abdul Ghafur, sedangkan ayah Abdur Rahman pada konteks isteri Tuan Tabal sebelum ini dikatakan bernama Lebai Muda. Kemungkinan Lebai Muda di sini adalah nama gelar juga bagi Abdur Ghafur pada konteks datuk kepada Syeikh Wan Ali Kutan dan saudaranya Wan Kaltsum tersebut. Penulis meyakini maklumat versi Terengganu ini, namun walau bagaimana pun penelitian tetap masih perlu dijalankan tanpa hentinya.

KELAHIRAN DAN PENDIDIKAN

Ada pertikaian pendapat tentang tahun kelahiran Tuan Tabal. Yang pertama mengatakan bahawa beliau lahir tahun 1816 Masihi, dan pendapat yang kedua menyebut tahun 1840 Masihi. Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hassan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan menentukan bahawa Tuan Tabal lahir pada tahun 1840 Masihi, yang diikuti oleh Hamdan Hassan dalam bukunya Tarekat Ahmadiyah di Malaysia Suatu Analisa Fakta Secara Ilmiah (DBP, 1990, hlm.72). Disebabkan ada dua pendapat di atas, maka penulis masih ragu dengan kedua-dua tahun yang disebutkan itu. Kedua-dua tahun yang disebutkan penulis-penulis lain tidak menyebutkan tahun Arabiyahnya. Padahal pada zaman itu tidak ada ulama kita mencatatkan tahun kelahiran dan tahun wafat menggunakan tahun Masihi. Pemindahan dari tahun Arabiyah kepada tahun Masihi sering terjadi kekeliruan, sebagai contoh Nik Abdul Aziz dalam buku yang sama tersebut di atas (lihat hlm. 99) menyebut bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani lahir tahun 1872, padahal hanya salah menyalinnya sahaja daripada tulisan penulis dalam majalah Dian bil. 49, 1972, yang penulis tulis tahun 1272 Hijrah bukan 1872 Masihi.Tulisan terawal Tuan Tabal ialah Munabbihul Ghafilin yang beliau selesaikan dalam tahun 1285 Hijrah yang jika dijadikan tahun Masihi lebih kurang tahun 1868 Masihi, bererti ketika itu Tuan Tabal baru berusia 28 tahun.
Kitab yang tersebut itu walaupun nipis sahaja, namun mencorakkan falsafah mistik peringkat tinggi, yang menurut tradisi ulama dunia Melayu, ilmu tasawuf semacam itu tidak pernah ditulis oleh orang-orang yang berumur 28 tahun. Walaupun mereka menguasai ilmu tasawuf, namun mereka lebih suka menulis ilmu-ilmu yang bercorak zahir saja. Oleh sebab hal-hal yang tersebut di atas tahun 1840 Masihi itu perlu penyelidikan lebih lanjut.Setelah memperoleh ilmu di Patani, Tuan Tabal melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Oleh sebab ilmu Arabiyah beliau kurang kemas sewaktu di Patani, beliau diperintah oleh gurunya Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki memperdalam ilmu-ilmu Arabiyah itu daripada Syeikh Ahmad al-Fathani, walaupun Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri jauh lebih muda daripada Tuan Tabal. Tuan Tabal lebih muda sedikit umurnya daripada Syeikh Muhammad Zain al-Fathani, ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.
Mengenai Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani itu sangat masyhur diceritakan oleh guru-guru pondok. Juga telah dirakamkan berupa tulisan oleh beberapa orang di antaranya Muhammad Uthman El-Muhammady, Hamdan Hassan (dalam buku yang sama di atas) dan lain-lain. Namun demikian tulisan Hamdan Hassan mengenai kepulangan Tuan Tabal dari Mekah sebelum tahun 1860 Masihi (lihat hlm. 74) masih meragukan. Sebab, dalam tahun 1860 Masihi itu Syeikh Ahmad al-Fathani baru berumur 4 tahun, jadi dalam tahun berapakah Tuan Tabal belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani ? Sebab itu mahu tidak mahu kita terpaksa memilih salah satu daripada dua, iaitu Tuan Tabal benar pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani jauh sesudah tahun 1860 Masihi, atau Tuan Tabal tidak pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana ketika beliau turun dari Mekah pada tahun 1860 Masihi, Syeikh al-Fathani masih kanak-kanak.Penulis tetap masih berpegang kepada cerita yang mutawatir bahawa Tuan Tabal memang pernah belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, namun yang perlu penelitian ialah tahun-tahun yang bersangkutan dengan Tuan Tabal kerana masih banyak yang diragui.
Ada pun tahun-tahun yang melibatkan Syeikh Ahmad al-Fathani mulai lahir, aktiviti kepelbagaian dalam kehidupan dan tarikh wafat semuanya cukup jelas kerana dokumen mengenai beliau memang tercatat secara teratur. Dalam waktu yang sama Tuan Tabal, Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani menerima Thariqat Ahmadiyah daripada Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi. Sidi Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi adalah murid kepada Sidi Ahmad Idris, iaitu daripadanya dinisbahkan Thariqat Ahmadiyah yang tersebut. Oleh sebab Tuan Tabal pulang ke Kelantan sedangkan Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani tetap tinggal di Mekah, maka dipercayai Tuan Tabal adalah orang pertama menyebarkan thariqat tersebut di Kelantan dan sekitarnya, atau tempat-tempat lain di Nusantara.Sampai artikel ini ditulis memang belum diketahui orang lain yang lebih awal menyebarkan thariqat itu di dunia Melayu, bagaimanapun penyebaran yang dilakukan oleh Tuan Tabal tidaklah secara besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Syeikh Muhammad Sa'id Negeri Sembilan yang muncul agak terkebelakang sedikit daripada Tuan Tabal.

AKTIVITI

Maklumat mengenai Tuan Tabal, pengamal Thariqat Ahmadiyah yang tersebut dapat disemak daripada surat Raja Kelantan ibnu Sultan Muhammad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani tarikh 14 Ramadan 1323 Hijrah, tertulis,''... orang yang dahulu beberapa banyak terima Thariqat Rasyidi, seperti Tuan Haji Abdus Shamad Tabal ...'' Dipercayai beliau telah mengajar thariqat yang tersebut terutama kepada anak-anak beliau. Bagaimanapun pengajaran Thariqat Ahmadiyah yang disebarkan oleh Tuan Tabal bukanlah merupakan pengajian asas. Pengajian yang asas dan pemantapan beliau mula mengajarnya di kampung Kutan, Kelantan, selanjutnya pindah ke Terengganu. Di antara muridnya di Terengganu ialah Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaituDato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Selanjutnya beliau mengajar pondok di kampung Tempoyak Tabal. Setelah berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, pengajaran dan dakwah lebih dipergiatkan lagi. Beliau telah berhasil membangun sebuah surau tempat beribadat dan mendidik umat di Lorong Semian.


PENULISAN

Karya Tuan Tabal yang telah ditemui ialah:

1. Munabbihul Ghafilin, diselesaikan hari Sabtu, 2 Muharam 1285 Hijrah/ 1868 Masihi. Kandungannya membicarakan tasawuf, merupakan petikan daripada kitab Ihya Ulumid Din dan Masyariqul Anwar. Naskhah yang dicetak berasal daripada salinan anak beliau, Nik Abdullah pada hari Sabtu, 29 Syaaban 1320 Hijrah.2. Jalalul Qulub bi Zikrillah, diselesaikan pada waktu Zuhur, hari Rabu, 18 Muharam 1287 Hijrah/1870 Masihi. Kandungannya juga mengenai tasawuf. Cetakan pertama oleh Majlis Ugama Islam Kelantan, 29 Zulhijjah 1254 Hijrah/ 1935 Masihi. Cetakan yang kedua, Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan. Diberi kata pendahuluan oleh Tuan Guru Haji Nik Daud bin Ahmad Jambu, di Bukit Rahmah Tanah Merah, Kelantan.


2. Kifayatul `Awam fima Yajibu `alaihim min Umuril Islam, diselesaikan 14 Safar 1295 Hijrah/1878 Masihi. Manuskrip kitab ini telah penulis miliki pada 3 Syawal 1411 Hijrah, dihadiahkan oleh salah seorang keturunan Tuan Guru Haji Ahmad bin Abdul Manan (ulama Kelantan murid Syeikh Ahmad al-Fathani). Manuskrip tersebut tidak lengkap dan merupakan salinan yang dilakukan pada akhir bulan Syawal 1321 Hijrah/1903 Masihi. Selain manuskrip penulis juga memiliki cetakan batu yang diperoleh di Senggora (1991). Tempat dan tarikh cetakan tiada tersebut dalam cetakan huruf batu tersebut.


3. Mun-yatu Ahlil Auwab fi Bayanit Taubah, oleh sebab saya tidak dapat merujuk kitab asli, maka tidak dapat memastikan yang mana sebenarnya judul yang betul, apakah seperti yang penulis tulis itu atau yang satu lagi tertulis ``... al-Awbah ...'' bukan `` ... Auwab ...''. Tertulis Auwab berdasarkan senarai tulisan tangan yang penulis peroleh daripada salah seorang keturunan Tuan Tabal, dalam senarai Nik Abdul Aziz juga sama demikian. Yang menulis al-Awbah ditulis oleh beberapa penulis termasuk Hamdan Hassan (lihat hlm. 238). Daripada senarai Hamdan Hassan diperoleh maklumat bahawa kitab ini pernah diterbitkan oleh Mustafa Press, Kota Bharu (tanpa tahun).


4. Bab Harap, dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1359 Hijrah/ 1940 Masihi.6. Bidayatu Ta'limil `Awam fi Tarafi min Arkanil Islam, tanpa menyebut tarikh. Pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1323 Hijrah/1906 Masihi. Cetakan kelima oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu.7. Manhatul Qaribil Mujib wa Mughnir Raghibin fit Taqrib, diselesaikan pada Jumaat, 10 Zulhijjah 1300 Hijrah/1882 Masihi. Kandungan kitab ini ialah usuluddin, fikah dan tasawuf. Tetapi yang terpenting ialah fikah. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1354 Hijrah/ 1935 Masihi.

Kitab ini adalah karya Tuan Tabal yang paling tebal, 327 halaman menurut ukuran model kitab-kitab Melayu/Jawi.8. Mun-yatul Muridin fi Ba'dhi Ausafi Saiyidil Mursalin, kitab ini tidak sempat diselesaikan kerana beliau meninggal dunia. Kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, 1345 Hijrah/1926 Masihi.Beberapa orang anak dan keturunan Tuan Tabal yang menjadi ulama, di antaranya Mufti Haji Wan Muhammad, Mufti Haji Wan Musa dan lain-lain akan dibicarakan dalam siri-siri berikutnya.

TUAN TULIS - Penuntut Teladan

LATAR BELAKANG

Makam Tuan Tulis kerap dikunjungi orang ramai sejak dahulu kerana menghormatinya sebagai orang alim dan sholeh. Mungkin kerana dakwaan bahawa beliau keramat atau bertaraf wali maka ada pula yang melakukan perkara-perkara bidaah ketika mengunjungi makam beliau. Beliau dipercayai lahir dalam tahun 1840an di Kampung Talang iaitu dalam Daerah Kuala Pilah dan yatim piatu sejak kecil.

Apabila berusia lapan tahun, beliau mula hidup berdikari dan berakhlak mulia. Tulis mendapat nama gara-gara kerajinan beliau menyalin isi kitab-kitab yang dimilikinya atau didakwa pernah menjadi jurutulis gurunya. Terdapat juga dakwaan bahawa beliau menulis kerana tidak mampu membeli kitab-kitab pengajian maka beliau terpaksa menyalin semula kitab-kitab yang dipelajarinya. Tuan Tulis menulis seolah-olah seperti membaca kitab-kitab itu. Ada pula memanggilnya Tuan Tulis kerana sifat peribadinya yang tulus ikhlas dalam menyampaikan dakwah. Beliau dipercayai lahir dalam tahun 1840an di Kampung Talang.

MENGHILANGKAN DIRI

Menurut cerita orang-orang tua, ketika usianya 15 tahun saudara maranya ingin menjodohkan beliau. Kerana beliau tidak bersedia atau tidak bersetuju maka Tuan Tulis pun membawa dirinya keluar dari kampung tersebut. Disebabkan hampir 48 tahun atau setengah abad menghilangkan diri, saudara maranya telah menyangka beliau telah meninggal dunia. Sebetulnya beliau pergi Temerloh, Pahang dan mengaji agama dibanyak tempat seperti di Pancur, Sanggang, Lubuk Kawah dan lain-lain tempat. Di Lubuk Kawah beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Rahman yang berasal dari Kelantan.

Penulis buku "Tujuh Wali Melayu" Saudara Abdul Ghani Said menyebut kitab yang disalin oleh Tuan Tulis jilid pertama kitab Tafsir Jalalain dan tafsir Al Quran 30 juzuk masih ada dalam simpanan Tuan Haji Ismail Hussein, imam Masjid Tuan Tulis di Kuala Talang. Kitab-kitab tersebut dikatakan ditulis dengan dakwat campuran arang para dan getah limau kasturi. Penanya pula dari bilah segar kabung.

DIPUJUK PULANG

Apabila mendapat tahu Ismail Jaaman ini masih hidup di Temerloh, saudara maranya datang menjemput dan memujuk beliau supaya pulang ke kampung halamannya. Beliau bersetuju pulang dalam tahun 1903. Menariknya, Ismail Jaaman dirayu lagi supaya berkahwin kerana umurnya ketika itu 63 tahun. Kali ini dia bersetuju tetapi hayat alam rumah tangganya selama tiga hari sahaja. Beliau lebih selesa membujang sepanjang hayatnya.Segi perawakannya, Tuan Tulis bertubuh kecil dan gemar memakai kain pelikat, berseluar jerut, baju Melayu dan bertongkat.

AMALAN HIDUP

Dalam tempoh beliau kembali di kampungnya, Allahyarham Tuan Tulis banyak membuat kerja kebajikan dalam masyarakat. Beliau tidak berat tulang untuk menolong orang susah, memberi nasihat dan menyeru amal maaruf dan nahi mungkar. Kesannya ramailah orang-orang yang dijadikan sahabat kembali taat dalam ibadah walaupun dulunya liat dalam menunaikan tuntutan agama. Menyentuh tugas membuka kelas pengajian, penyusun melihat ada sedikit perbezaan maklumat antara Saudara Nawawi Haji Indek dalam buku " Alim Ulama Negeri Sembilan" ( cetakan 1971) dengan penulis buku " Tujuh Wali Melayu" Saudara Abdul Ghani Said. Nawawi Haji Indek menyatakan Tuan Tulis tidak mengajar agama kepada orang lain secara langsung seperti membuka kelas pengajian. Sebaliknya, Abdul Ghani dalam penyelidikannya meriwayatkan Tuan Tulis ada membuka kelas pengajian di surau atau di rumahnya.

KEBAKARAN DI MEKAH

Dipercayai bahawa Tuan Tulis mewarisi Tarekat Satariah dan kuat beribadah. Diriwayatkan semasa hayatnya, terdapat perkara-perkara pelik berlaku pada Tuan Tulis. Antaranya ialah beliau sempat ke Mekah membantu memadamkan kebakaran besar pada awal tahun 1900 ketika tukang cukurnya masuk ke rumah untuk mengasah pisau cukurnya. Kerbau-kerbau milik beliau juga akur dengan perintahnya tidak memakan padi orang di sawah dan tetapi makan rumput sahaja. Keanehan lain pula ialah beliau pergi mengubat Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhamad di London dengan air jampi sedangkan beliau telah meninggal dunia tiga tahun sebelum itu. Kisah menarik sifat kewalian beliau boleh dibaca dari buku Tujuh Wali Melayu" karangan Saudara Abdul Ghani Said.

Beliau amat diingati dengan kejayaan beliau menghasilkan sebuah masyhaf Al-Quran tulisan tangan. Beliau juga telah berusaha mendirikan sebuah masjid di Kg Kuala Talang pada tahun 1920 dan masih digunakan sehingga ke hari ini.

MENINGGAL DUNIA

Tuan Tulis meninggal dunia dalam tahun 1923 selepas subuh hari ke sepuluh bulan Ramadhan ketika berusia 83 tahun. Beliau dikebumikan di Kawasan Masjid Kuala Talang, Tanjung Ipoh. Tuanku Muhamad Yang Dipertuan Besar telah perkenan membina makamnya di sana sejurus bila baginda balik dari England selepas diubati oleh Tuan Tulis. Mengikut kepercayaan masyarakat tempatan, jenazahnya dikatakan ghaib secara tiba-tiba semasa dituruni ke liang lahad.

WAN FATIMAH AL-KALANTANI - Wanita Melayu Alim di Mekah

Oleh : Tuan Haji Wan Mohd Shaghir bin Wan Abdullah
DALAM Ruangan Agama, Utusan Malaysia bertarikh 27 September 2004, diperkenalkan nama orang tuanya, iaitu Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Ruangan Agama, Utusan Malaysia bertarikh 11 Oktober 2004 pula memperkenalkan riwayat suaminya, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani atau Tok Daud Katib al-Kalantani.Artikel ini secara langsung memperkenalkan seorang alimah, yang nama lengkapnya ialah Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani bin Abdul Ghafur bin Syeikh Izzuddin. Syeikh Izzuddin juga bernama Syeikh Taqiyuddin. Wan Fatimah adalah di antara wanita teralim dan kuat beramal, seperti tilawah al-Quran, wirid, zikir, dan selawat dalam keluarga besar ulama Patani dan Kelantan pada zamannya.Selain itu beliau aktif mengajar di rumahnya di Mekah. Sebahagian besar wirid ayahnya, Syeikh Wan Ali Kutan, terutama amalan-amalan yang termaktub dalam Lum'atul Aurad yang bersambung sampai sekarang adalah diijazahkan oleh Wan Fatimah. Wan Fatimah tidak menghasilkan penulisan tetapi bertanggungjawab atas penerbitan karya-karya ayahnya, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan.
Selanjutnya Wan Fatimah pindah ke Kota Bharu, Kelantan mengikut suaminya, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani (Tok Daud Katib).Mereka tinggal di Kampung Atas Paloh. Perpindahan mereka ke Kelantan adalah kerana menjalankan tugas daripada Syeikh Ahmad al-Fathani yang mendirikan Mathba'ah al-Miriyah al-Kalantaniyah dalam rangka mencetak dan menerbitkan pelbagai jenis kitab untuk disebarluaskan ke seluruh dunia Melayu.

KEKELUARGAAN

Wan Fatimah mempunyai tiga orang saudara; seorang lelaki, iaitu Wan Abdur Rahman adalah sahabat karib kepada Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan.Dua orang saudaranya yang lain ialah Wan Maryam binti Syeikh Wan Ali Kutan, yang berkahwin dengan Syeikh Abdullah bin Syeikh Nik Mat Kecik al- Fathani. Seorang lagi Wan Shafiyah binti Syeikh Wan Ali Kutan, berkahwin dengan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani.Syeikh Abdullah dan Syeikh Muhammad Nur tergolong dalam kumpulan ulama. Mereka adalah anak-anak kepada ulama yang terkenal, iaitu Syeikh Nik Mat Kecik atau Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, satu-satunya ulama Melayu yang menjadi Hakim Mahkamah Syarie di Mekah pada zamannya (ulama yang pernah diperkenalkan dalam ruangan ini pada 25 April 2005). Wan Fatimah sendiri berkahwin dengan sepupunya, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani atau Tok Daud Katib Kelantan (telah diperkenalkan dalam Utusan Malaysia pada 11 Oktober 2004).
Mereka semua dalam lingkungan kekeluargaan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dari segi lain Wan Fatimah juga adalah sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana ibu Syeikh Ahmad al-Fathani bernama Wan Cik binti Haji Wan Muhammad Shalih al-Fathani adalah adik beradik dengan ibu Wan Fatimah, yang bernama Wan Aisyah binti Haji Wan Muhammad Shalih al-Fathani. Datuk nenek dari pihak ibunya adalah keturunan Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi, keturunan Bani Abbas melalui Khalifah Mu'tasim Billah. Keturunan tersebut telah lama tinggal di Aceh dan selanjutnya Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi berpindah ke Patani. Beliau bersama sahabatnya, Syeikh Muhammad Sa'id telah berhasil mengislamkan Raja Antira, Raja Patani.

AKTIVITI KELUARGA

Sebagaimana disebutkan bahawa saudara lelaki Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani hanya seorang, iaitu Wan Abdur Rahman. Sebenarnya Wan Abdur Rahman adalah seorang ulama dan cendekiawan tetapi beliau tidak mahu ditonjolkan. Pemikiran beliau banyak dimanfaatkan oleh Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan itu. Wan Abdur Rahman menghasilkan tiga buah karangan, iaitu:
1. Seribu satu Malam. Karya ini atas permintaan Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan.
2. Syair Sifat Dua Puluh, iaitu digubah dalam 50 bait syair dalam bahasa Melayu.
3. Syair Nasihat, digubah dalam 40 bait, juga dalam bahasa Melayu. Ketiga-tiga karya Wan Abdur Rahman bin Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani itu masih dalam bentuk manuskrip, asli tulisan tangan beliau, dan belum ditemukan yang berupa salinan. Saya sendiri pernah membaca karya-karya tersebut semalam suntuk di rumah cucu beliau di Kampung Kutan tahun 1995.Perkahwinan antara Wan Fatimah dengan Tok Daud Katib dianugerahkan anak-anak; Wan Abdul Qadir (pernah menjadi Penggawa di Pasir Mas) dan Tuan Guru Haji Mahmud yang menjadi ulama.
Adapun Wan Abdul Qadir diberkati oleh Allah dapat mengerjakan haji setiap tahun sejak berumur tujuh tahun hinggalah tahun terakhir beliau meninggal dunia. Cara hidupnya juga berlainan daripada kebanyakan orang. Setelah beliau tidak menjadi penggawa lagi, beliau hanya tinggal di rumahnya Atas Paluh selama enam bulan dan enam bulan lagi mengembara ke mana saja yang disukainya. Wan Abdul Qadir tidak mempunyai pekerjaan yang tetap, beliau sangat kuat mengamalkan wirid. Setiap hari sesudah Subuh hingga selesai solat Dhuha, barulah beliau beredar dari tempat wiridnya. Yang diamalkannya hanya wirid-wirid yang termaktub dalam Lum'atul Aurad yang disusun oleh datuknya, Syeikh Wan Ali Kutan yang mana amalan-amalan itu diterima ijazah daripada ibunya sendiri, iaitu Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali Kutan.
Wan Abdul Qadir pula telah mengijazahkan amalan tersebut kepada ramai orang di Malaysia, Patani, Sumatera dan Mekah. Pada zamannya, masyarakat Islam di Malaysia menunaikan haji ke Mekah masih menggunakan kapal laut. Pada kesempatan itu ramai yang berada dalam kapal yang dinaikinya untuk menerima ijazah amalan Lum'atul Aurad itu. Sungguhpun masanya lebih banyak digunakan untuk melakukan wirid, zikir, selawat dan sejenisnya jika dibandingkan dengan waktu yang digunakan untuk bekerja mencari nafkah, namun perbelanjaan hariannya sama juga dengan orang-orang lain yang berada di persekitarannya. Beliau tidak pernah mengalami kesempitan perbelanjaan, walaupun beliau juga mempunyai tujuh orang anak. Semua anaknya memperoleh pendidikan. Beberapa orang di antaranya menjadi guru dan aktif bergerak dalam bidang kemasyarakatan. Anak Wan Fatimah yang menjadi ulama ialah Tuan Guru Haji Mahmud. Beliau termasuk anggota Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, guru di Ma'ahad Al-Muhammadi, menjadi penulis dalam majalah Pengasuh dan menulis beberapa buah buku. Dalam koleksi saya terdapat dua buah buku karangan beliau, iaitu Kerana Kemerdehekaan atau Dasar Setia Merusakkan Kerajaan, diselesaikan di Kota Bharu, Kelantan pada 13 Rabiulakhir 1358 H/1 Jun 1939 M. Kandungannya membicarakan sebab-sebab kejatuhan pemerintahan Turki-'Utsmaniyah pada tahun 1914 M-1918 M. Mengenai buku ini diberi komentar oleh pihak penerbitnya, ``Ialah suatu riwayat dan tarikh yang belum ada seumpamanya di dalam bahasa Melayu, iaitu berlaku di negeri Turki pada masa as-Sultan Abdul Hamid. Mengandungi perihal punca-punca kejatuhan kerajaan Turki, perlawanan siasat, perasaan cinta berahi, keberanian dan perasaan kewatanan, peperangan Balkan, dan ringkasan tarikh peperangan besar 1914 - 1918''. Dicetak oleh Mustafa Press, Kelantan, 1939 M.
Sebuah lagi karangan Wan Mahmud ialah Siasat Perniagaan atau Kaedah dan Peraturan Berjual Beli, yang tarikh penulisannya belum diketahui kerana beberapa halamannya tidak ditemui. Kandungannya membicarakan pelbagai aspek, etika dan tatacara melaksanakan perniagaan. Dinyatakan pada halaman depan, ``... iaitu menunjukkan bagaimana memajukan perniagaan runcit-runcit mengikut ilmu jiwa, falsafah perangai, dan ijtima' ...'' Kandungannya juga terdapat petikan perkataan hikmah daripada Saidina Umar bin Khattab, ``Jangan kamu dikalahkan oleh bangsa lain dalam bab perniagaan kerana sesungguhnya dialah sepertiga kekuasaan dan pemerintahan.'' Cetakan kedua, Mustafa Press, Kelantan, 1952 M. Pandangan dan taqriz diberi oleh Datuk Nik Mahmud bin Ismail, Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, ditulis di Kota Bharu, Kelantan pada 4 Januari 1941 M.
Saya mendapat maklumat, sewaktu saya menulis artikel ini terdapat 20 orang keturunan Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani yang menghafaz al-Quran tiga puluh juzuk (hafiz dan hafizah). Salah seorang cucu beliau, iaitu Wan Khadijah binti Haji Wan Abdul Qadir bersama suaminya Abdul Rahman bin Abdul Samad yang sekarang sedang giat membina tempat pendidikan tahfiz yang dinamakan Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Hilmiah di Taman Kenangan, Kota Bharu, Kelantan. Selain itu juga beliau membina satu pertubuhan yang dinamakan Kelab Balkis.CeramahPada tarikh 18 Jamadilawal 1426 H/25 Jun 2005 M dalam rangka Memperingati 100 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani, Pemikir Agung Melayu dan Islam yang ke-5, Kelab Balkis dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (Pengkaji) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, dan lain-lain telah menganjurkan satu cera-mah di Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan.
Dua kertas kerja telah dibentangkan. Kertas kerja pertama banyak menyentuh tentang Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, anak beliau Wan Fatimah dan ulama-ulama Kelantan lainnya terutama Tok Kenali. Kertas kerja kedua dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Ismail Bakar, pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Secara kebetulan pula Prof. Madya Dr. Ismail Bakar mempunyai pertalian keluarga melalui perkahwinan dengan keturunan Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani.Sebagai penutup artikel ini saya berkesimpulan bahawa 71 orang ulama yang telah diperkenalkan dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia ini semuanya adalah kaum lelaki. Wan Fatimah yang diriwayatkan di atas merupakan tokoh ke-72. Ini bererti beliau merupakan tokoh wanita pertama yang diperkenalkan dalam ruangan ini. Jika kita semak dengan teliti bererti dari kalangan keluarga ulama dunia Melayu sejak lama, telah melahirkan golongan anak dan cucu mereka daripada golongan wanita yang berminat terhadap ilmu pengetahuan. Mereka berjaya mempelajari dan mengajar ilmu pengetahuan sekali gus menyepadukan ilmu dan amal. Sangatlah hampa, kosong tiada bermanfaat, jika seseorang itu mempunyai ilmu yang banyak tetapi tiada mengamalkan ilmu pengetahuan yang ada padanya. Orang-orang berilmu yang paling bijak ialah yang dapat memanfaatkan ilmunya untuk kebahagiaan diri, keluarga dan masyarakat dalam erti kata yang luas kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Monday, April 23, 2007

Ini adalah makam Al 'Arif Billah Sayyidi Abdul Salam Ibnu Masyisy, guru kepada Al 'Arif Billah Sayyidi Abul Hassan Asy Syazili pengasas Tariqah Asy Syaziliyyah. Rantaian emas Asy Syaziliyyah bermula daripada beliau selaku guru kepada Imam Asy Syazili kemudiannya turun kepada Al 'Arif Billah Syeikh Abul 'Abbas Al Mursi yang kemudiannya beralih pula kepada Al 'Arif Billah Syeikh Ibnu 'Athoillah As Sakandari pengarang Kitab Hikam yang terkenal itu.

Tariqah Asy Syaziliyyah telah zahir pada tahun 651 Hijrah di Iskandariah, Mesir. Sejak dahulu lagi tariqah ini terkenal sebagai sebuah kumpulan tariqah yang mempunyai ramai ulama' ulama' besar yang berintima' dengannya. Salah seorang Syeikh Al Azhar yang terkenal iaitu Al Imamul Akbar Al Marhum Dr Abdul Halim Mahmud juga adalah salah seorang ikhwan tariqah ini.


Langkahan ke Baitul Maqdis